Saturday, June 18, 2011

Permainan Wau


  PERMAINAN TRADISIONAL WAU

PENDAHULUAN
Permainan wau atau pun lebih dikenali layang-layang suatu ketika dahulu lebih popular di kawasan pedalaman seperti di kawasan pantai dan kawasan lapang seperti di padang, sawah padi dan sebagainya.
Kini permainan tersebut telah mulai popular dan diminati oleh pelbagai kaum termasuklah mereka yang menetap di kawasan bandar.
Bukan itu sahaja, ia telah diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa seperti di Pasir Gudang Kite Festivals International Guests yang diadakan pada setiap tahun. Sambutan festival ini juga sangat memberangsangkan terutamanya peserta dari luar negara.



Sejarah Wau Malaysia

Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan tarikh serta asal-usulnya. Walau bagaimanapun menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di Malaysia berasal dari negara China. Ini kerana rekabentuk serta karektor mempunyai persamaan dengan layang-layang tradisional dari negara China.
Layang-layang pada masa dahulu menggunakan daun kayu yang lebar. Kemungkinan evolusi layang-layang di Malaysia juga turut menyerap unsur-unsur kebudayaan dari negara China.
Mitos Permainan Wau
Permainan wau dikaitkan dengan mitos ‘Semangat Padi’ yang berasal dari utara Semenanjung Malaysia iaitu di negeri Kedah.
Diceritakan bahawa ada sepasang suami isteri di negeri tersebut yang bekerja sebagai petani di sebuah kaki bukit dengan menanam padi huma. Ketika mereka sedang menanam padi, mereka terjumpa seorang bayi perempuan lalu dipeliharanya bayi tersebut sehinggalah dewasa. Oleh kerana suaminya ingin mengucapkan syukur dan terlalu menyayangi anak gadisnya itu maka beliau selalu membawakan makanan ke tempat anak gadisnya bermain iaitu di baluh padi.

Perbuatan suaminya itu telah menyebabkan sang isteri merasa sangat cemburu. Disebabkan perasaan cemburunya itu dia telah menyiksa anak gadisnya sehingga melarikan diri mengikut arah mata angin barat. Akibatnya, pada tahun itu juga padi yang telah dikerjakan tidak menjadi. Menurut Tok Nujum yang ditemui menyatakan bahawa anak gadis mereka sebenarnya adalah ‘Semangat Padi’ dan menasihatkan petani tersebut sebagai tanda meminta maaf mereka dikehendaki membuat sebuah lembaga yang menyerupai Wau Bulan dan diterbangkan menggunakan tali jerami.


Latar Belakang Wau

Selain wau, nama lain adalah layang-layang. Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan Thailand memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.
Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja, dan tidak pula disebut bermain wau
Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’, “wau’, “wau’ secara berirama.

Wau Bulan juga boleh didapati daripada :-
I) Seni Pertukangan : Filigree
Seni pertukangan perak adalah salah satu cabang kesenian orang-orang Melayu yang amat terkenal di negeri Kelantan. Kemahiran pertukangan logam orang-orang dipercayai telah wujud sejak zaman-berzaman, hasil pengaruh tamadun Hindu dan Islam yang memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti emas dan tembaga. Bagi masyarakat yang telah mengenali seni pertukangan perak filigree atau turut dikenali dengan dawai pintal, mengakui bahawa seni perak filigree mempunyai keindahannya yang tersendiri. Keindahan yang dimaksudkan ini bukan sekadar kehalusan ragam hiasan pada penciptaan suatu motif yang terselindung di sebaliknya menghikut daya imiginasi jiwa pencipta itu sendiri.

Kebanyakan barangan filigree memaparkan peralatan perhiasan diri yang menjadi kegemaran kaum wanita. Pelbagai motif terdapat dalam pertukangan filigree ini antaranya motif bunga-bungaan dan motif wau.
Tarian Siti Wau Bulan
Asal-usul tarian ini adalah dari Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu. Tarian ini menggambarkan wau bulan yang sedang diterbangkan dengan penuh keriangan yang juga merupakan salah satu acara tradisi semasa musim menuai padi. Tarian ini ditarikan oleh penari lelaki dan perempuan dengan diiringi alat muzik tradisional seperti gendang dan seruling

Bahagian Perincian Wau

Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.

Bahagian Utama Wau

Teknik Pembuatan Wau Tradisional
Antara bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau.
Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Bagi memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti.
Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin menebang dan menyimpan buluh tersebut.
Petua dan Pantang Larang Pemilihan Buluh
Mencari dan Menebang Buluh
1. Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam semak atau dusun.
2. Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
3. Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut mempunyai banyak kanji dan mudah diserang serangga perosak.
4. Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua.
5. Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti di waktu tengahari.
6. Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya.


Meraut Buluh

Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan.
Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-
1. Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana keras.
2. Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
3. Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5 sentimeter

Proses Memasang Tanah Wau

Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil ‘tanah’ akan dipasang pada wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah :-
1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai.
3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk ‘V’.
4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.


Mengukur, Melukis dan Menyobek Corak

Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat :
1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor.
2. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
3. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau.



6. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya sahaja.
Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau. Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna.

Proses Membuat Serta Memasang Jambul atau Rambu
Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau.
Diperbuat daripada kertas ‘crepe’ yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu

Jenis Koleksi Wau Tradisional

Kesimpulan

Wau tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri. Warisan tradisional ini haruslah dikekalkan kerana ia adalah identiti budaya bangsa Melayu dan juga sebuah negara. Kini permainan wau mulai popular di kalangan masyarakat bandar dan tidak lagi terhad di luar bandar sahaja. Bukan itu sahaja, permainan wau ini juga telah dimodenkan dan mula memasuki peringkat antarabangsa. Selain wau, layang-layang juga amat diminati sebagai salah satu aktiviti pada waktu terluang.


                                  PERMAINAN WAU
Teraju tiga sememangnya sinonim dengan wau, juga dikenali sebagai layang-layang di negeri-negeri sebelah pantai barat semenanjung. Sebagai permainan masa lapang bagi kalangan rakyat biasa dan golongan istana. Sejak zaman-berzaman sekitar kurun kelima belas, wau telah dimainkan oleh orang Melayu. Mereka telah mempercayai ada kaitan di antara semangat angin dan langit.
Jenis Wau

Wau bulan
Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan. Rekacorak bermotifkan awan larat pada kebiasaannya adalah menghiasi kebanyakan wau yang dihasilkan dengan berwarna-warni. Kelantan dan Terengganu sehingga kini masih mengekalkan tradisi pembuatan wau yang menarik, selain dijadikan untuk permainan ianya juga sebagai hasil kraftangan dan hiasan dinding.
Membuat Wau

Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.
Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.

Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.

Cara Bermain

Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.

Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.

No comments:

Post a Comment